SIMANGGANG: Kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus bertindak membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di dalam negeri ini kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, salah satu langkah berkenaan adalah dengan menyalur peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari GPS bagi membantu meningkatkan taraf hidup penduduk bawah jagaan masing-masing secara terus.
“Selain melaksanakan projek mega yang boleh memberi impak secara menyeluruh terhadap sesebuah penempatan penduduk, Kerajaan Sarawak pimpinan GPS juga sedar bahawa perlu bantuan secara terus kepada pihak pimpinan di peringkat akar umbi.
“Atas sebab itulah pemberian peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) terus dikekalkan agar wakil rakyat GPS dapat memberi membantu komuniti penduduk di bahwa kuasa jagaan mereka secara terus pada setiap tahun,” kata beliau.
Harden ketika menyerah cek MRP kepada 12 organisasi di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Simanggang dalam bandar ini turut menasihat penerima agar menghargai pemberian peruntukan Kerajaan Sarawak itu dari masa ke semasa.
Katanya, salah satu cara tersebut adalah dengan mengurus peruntukan MRP secara terus dan melaksana pelbagai jenis program yang dilihat mampu mempertingkatkan taraf hidup komuniti penduduk masing-masing.
“Rancang dengan baik penggunaan MRP masing-masing. Pastikan MRP ini diguna untuk memberi manfaat secara menyeluruh kepada penduduk dan bukan untuk sekumpulan individu sahaja.
“Jika gagal diurus dengan baik maka ia boleh menimbulkan sesuatu isu. Jika timbul isu disebabkan MRP tersebut ia mungkin boleh mencemarkan imej organisasi itu sehingga ia memberi impak terhadap penyalurnya iaitu wakil rakyat GPS,” kata beliau.
Harden turut menasihat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam DUN Simanggang untuk bertindak membantu warga emas berkelayakan untuk memohon ‘Kenyalang Gold Card’ (KGC).
“JKKK boleh bertindak melantik beberapa ahli mereka untuk mencari dan mengurus permohonan warga emas yang layak untuk menerima bantuan kebajikan daripada Kerajaan Sarawak menerusi KGC.
“Dengan berbuat demikian, JKKK bukan sahaja dapat berbakti kepada penduduk malah turut membantu Kerajaan Sarawak untuk menyampaikan bantuan kebajikan secara langsung kepada warga emas di negeri ini,” kata Harden.
Terdahulu sejumlah 12 buah organisasi dari sekitar kawasan Sri Aman dan Engkilili telah menerima cek peruntukan bagi DUN Simanggang yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM124,000.
Hadir sama adalah Setiausaha Sulitnya, Jilin Itar, Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang, Kapitan Ling Siew Hung, Penghulu Tiong Chong Onn dan Kaunselor Dennel Sawing.
Oleh Valentine Ngumbang