Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak komited perkasa kebajikan warga emas – Datuk Razi Sitam
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak komited perkasa kebajikan warga emas – Datuk Razi Sitam

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Mohammad Razi Sitam merasmikan Program Iftar Ramadan RSK Kuching yang berlangsung di Dewan Serbaguna institusi berkenaan, hari ini. Foto: ADUN Saribas

KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan warga emas di negeri ini sentiasa terbela menerusi pelbagai inisiatif sokongan sosial yang inklusif. 

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, usaha tersebut selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa kesejahteraan komuniti tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

​Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Iftar Ramadan Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching yang berlangsung di Dewan Serbaguna institusi berkenaan, hari ini. 

Program tersebut dihadiri oleh warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta komuniti setempat dalam suasana yang penuh ukhuwah.

​Menurut Mohammad Razi, RSK Kuching kini menempatkan seramai 86 penghuni secara keseluruhan. Daripada jumlah tersebut, seramai 24 merupakan penghuni beragama Islam yang diraikan secara khusus dalam majlis berbuka puasa tersebut sebagai tanda keprihatinan pihak pengurusan terhadap kebajikan rohani mereka.

​”Program Iftar Ramadan ini merupakan simbolik peranan JKMS sebagai medium untuk menyantuni penghuni RSK Kuching. 

“Ia juga berfungsi sebagai peringatan tentang tanggungjawab sosial kita untuk terus memberi perhatian dan sokongan berterusan kepada insan-insan yang memerlukan, khususnya warga emas,” katanya.

​Tambah beliau, inisiatif ini bukan sekadar rutin tahunan, malah dirangka dengan objektif jelas termasuk penyampaian bantuan kewangan kepada penghuni untuk persiapan Aidilfitri, selain bertujuan mengeratkan silaturahim antara penganjur, keluarga, dan komuniti dalam semangat masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

​Memeriahkan lagi suasana sambutan, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seawal pagi termasuk gotong-royong memasak serta mengagihkan bubur lambuk dan ketupat. 

Menariknya, aktiviti tersebut melibatkan penyertaan aktif penghuni RSK Kuching sendiri yang kemudiannya diagihkan kepada komuniti sekitar.

​Bagi memudahkan urusan ibadah penghuni, pihak penganjur turut menjemput amil zakat untuk membuka kaunter pembayaran zakat fitrah di lokasi.

Kemudahan ini disediakan khusus bagi memastikan penghuni beragama Islam dapat menunaikan kewajipan mereka dengan lebih selesa dan teratur tanpa perlu keluar dari premis.

​Selain itu, majlis turut diserikan dengan sesi rakaman takbir raya yang melibatkan gabungan penghuni, kakitangan JKMS, dan penduduk setempat. 

Aktiviti ini dilihat berjaya menyemarakkan lagi semangat sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, sekali gus mengubat rindu penghuni terhadap suasana kekeluargaan.

​”Bagi saya, apa yang lebih penting adalah keikhlasan, kasih sayang, dan semangat kebersamaan yang ingin kita semai dalam kalangan masyarakat. 

“Saya menyokong penuh usaha kebajikan yang memberi manfaat langsung seperti ini dan akan terus komited terhadap agenda kesejahteraan warga emas,” tegas beliau.

​Mohammad Razi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JKMS dan pengurusan RSK Kuching atas penganjuran program yang murni itu, dan berharap usaha menyantuni warga emas ini dapat diteruskan oleh semua pihak bagi menjamin kualiti hidup golongan berkenaan terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Persiapan baju raya jadi keutamaan menjelang Aidilfitri
Next: Lebih dua juta kenderaan berdaftar, tekanan trafik bandar di Sarawak meningkat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.