
BEKENU: Masjid Nurul Yakin Kampung Muhibbah Ladang Tiga menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 bagi menaik taraf kemudahan dapur masjid tersebut.
Selain itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita turut diperuntukan yang masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM3,000.
Peruntukan tersebut sebagai memperkukuh peranan institusi itu sebagai pusat aktiviti masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, kelulusan tersebut dibuat selepas mengambil kira fungsi dapur masjid yang memberi manfaat besar kepada penduduk kampung, khususnya ketika situasi kecemasan seperti banjir.
“Permohonan ini saya luluskan sebanyak RM20,000 kerana kita melihat manfaatnya kepada masyarakat, terutama apabila berlaku banjir.
“Di mana dapur ini menjadi tempat penyediaan makanan untuk penduduk,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada program Ziarah Masjid Nurul Yakin Kampung Muhibbah Ladang Tiga, di sini malam tadi.
Dalam masa sama, Rosey turut mengucapkan tahniah atas kelulusan penubuhan Persatuan Bugis Sarawak cawangan Ladang Tiga yang menurutnya mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut beliau, kewujudan persatuan tersebut mampu menjadi platform untuk memperkukuh hubungan komuniti selain memelihara warisan budaya dalam kalangan penduduk kampung.
Oleh Adum Liu