
LAWAS: Pentas perjuangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari bukan sahaja tertumpu kepada perjuangan politik, malah merangkumi pelbagai aspek kehidupan.
Sehubungan itu, Pemuda PBB Bukit Sari menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Pemuda ranting di bawah Cawangan Bukit Sari yang diadakan di Surau Kampung Belangsat, Jalan Punang.
Program berkenaan turut diadakan bersempena sambutan Nuzul al-Quran 1447H baru-baru ini.

Program dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat, diikuti majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat.
Majlis turut diserikan dengan ceramah Ramadan oleh Ustaz Mohd Khairul Nizam, selain solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan Witir secara berjemaah.
Ketua Pemuda PBB Bukit Sari, Durahman Salleh, turut menyampaikan sumbangan kepada pihak surau sebagai tanda sokongan dalam usaha mengimarahkan rumah ibadat tersebut.

“Kita berharap program mengimarahkan rumah Allah tidak hanya diadakan pada bulan Ramadan, tetapi sepanjang masa.
“Golongan pemuda harus sentiasa menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup dalam membentuk jati diri, nilai integriti dan amanah sepanjang memikul tanggungjawab yang digalas,” katanya pada majlis berkenaan.
Durahman turut melahirkan rasa gembira melihat sambutan rakan-rakan Pemuda PBB di peringkat ranting yang bersama-sama mengimarahkan rumah Allah di lokasi yang diziarahi sepanjang Ramadan.
Oleh Adeng Edrus