KUCHING: Penubuhan TV Sarawak (TVS) sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk menuju ke arah Industri 4.0 yang memberi fokus kepada kreativiti dan industri.
Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Datuk Norhayati Ismail berkata, pihak mereka melalui TVS mempunyai visi untuk menjadi pemain media yang disegani dan setaraf dengan media lain diperingkat antarabangsa.
“Kami ingin menjadikan Sarawak sebagai salah satu media hab yang hebat dan rancak di ranrau ini dengan mengetengahkan bakat-bakat anak Sarawak.
“Kini, sudah tiba masanya Sarawak menyerlah dalam industri kandungan kreatif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.
Menurutnya lagi, TVS juga bakal menjadi platform untuk penggiat seni kreatif daripada amator hingga ke professional.
“Melalui TVS mereka dapat menyalurkan idea-idea baharu dan kreatif melalui penceritaan yang unik dan menggambarkan pelbagai budaya di negeri ini.
“TVS telah menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah Geran Pelaksana untuk menghidupkan semula industri filem di negara ini,” ujarnya.
Beliau berkata, TVS mewakili suara rakyat Sarawak dan memberi mereka peluang untuk mempamerkan bakat kreatif mereka dan sebagainya.
“Rancangan TVS juga disampaikan dengan pelbagai bahasa iaitu Melayu, Iban dan Mandarin, ini secara perlahan-lahan dapat membantu memperkenalkan warisan pelbagai budaya kita, memperkuat agenda nasional dan sebagainya,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau yakin TVS mempunyai potensi yang sangat besar sebagai wadah untuk mempromisikan bakat, keunikan, dan saluran alternatif untuk mejana pendapatan melalui penghasilan kandungan kretaif.
“TVS kini boleh ditonton di seluruh negara menerusi siaran 122 Astro dan Astro NJOI dan akan menyusul juga insya-Allah di tontonan percuma MYTV,” ujarnya lagi.