SIBU: Orang ramai begitu teruja untuk melalui Jalan Kanowit/Song/Kapit yang menjanjikan panorama bergunung-ganang dan berbukit-bukau indah, apabila jalan tersebut yang menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan di Bahagian Kapit mulai dibuka pada 4 Oktober lalu.
Malah, Utusan Sarawak tidak melepaskan peluang melalui jalan tersebut semasa membuat liputan Rombongan Ekspedisi Bermotosikal Sibu-Kapit Melalui Jalan Darat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 4 Oktober lalu.
Sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut sudah pasti merasa teruja melihat pemandangan indah, dalam ucapan Ketua Menteri baru-baru ini telah mencadangkan pemandangan tersebut sesuai untuk dijadikan pengambaran filem dan berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong untuk datang ke bahagian tersebut.
Projek pembinaan Jalan Kanowit/Song/Kapit sepanjang 101 kilometer itu melibatkan peruntukan sebanyak RM751,889,205.42.
Projek pembinaannya bermula dari Jambatan Kanowit ke Kapit melibatkan tiga pakej iaitu A,B dan C, komponen utamanya pembinaan tiga buah jambatan dengan R3 Standard Single Carriageway (Tar Sealad).
Bagaimanapun, jalan tersebut sehingga kini masih belum siap sepenuhnya di Section B iaitu Jalan Nanga Ngemah/Nanga Temalat.
Demi untuk kemudahan rakyat di bahagian tersebut amnya, Ketua Menteri ketika lawatannya ke Kapit mencadangkan jalan tersebut di jajaran Jalan Nanga Ngemah/Nanga Temalat dibuka kepada orang ramai secara berjadual kepada orang ramai.
Hal ini bagi memberikan laluan kepada pihak kontraktor untuk menyiapkan jalan yang masih belum siap sepenuhnya.
Jalan Nanga Ngemah/Nanga Temalat dibuka dari Isnin hingga Ahad kepada orang ramai mulai jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi, 12 tengah hari hingga 1.30 petang dan 6.00 petang hingga 9.00 malam.
Berdasarkan gambar yang tular di media sosial semalam, adalah tidak mustahil jalan tersebut menjadi sesak dengan ratusan kenderaan beratur panjang menunggu jalan tersebut dibuka.
Ia adalah disebabkan orang ramai menunggu masa jalan tersebut dibuka.
Tambahan pula disebabkan waktu hujung minggu sebegini sudah pastinya ramai yang mahu mencuba melalui jalan tersebut sama ada hendak ke Song dan Kapit atau dari Kapit ke Sibu.
Oleh Nurzilla Mohamad