
BETONG: Perpaduan utuh dan nilai toleransi yang tinggi menjadi ‘perisai’ utama buat penduduk Betong dalam memastikan kelangsungan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut kekal mampan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan, sikap kebersamaan antara kaum dan agama yang terjalin sejak sekian lama adalah tunjang kekuatan masyarakat majmuk di Sarawak.
Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa kesepakatan antara rakyat dan kepimpinan di Betong berjaya mewujudkan suasana harmoni yang membolehkan agenda pembangunan dilaksanakan dengan lancar.

”Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menentukan hala tuju pembangunan agar keperluan penduduk dapat direalisasikan melalui perpaduan yang erat,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesan agar penduduk tidak mudah terpedaya dengan pengaruh negatif yang cuba menggugat keamanan sedia ada.
“Jangan sesekali terjebak dengan anasir luar yang ingin memecah belahkan perpaduan kita. Kita perlu mempertahankan nilai murni ini untuk kekal kuat dan utuh,” tegas beliau.
Rentap berkata demikian semasa merasmikan Majlis Iftar Ramadan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Kampung Melayu Betong di Dewan Al-Husna, Masjid Jamek Betong, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu turut memuji komitmen penganjur yang konsisten melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang menyentuh hati rakyat.
Beliau memberi jaminan akan terus memberikan sokongan penuh bagi memastikan program murni seperti itu dijadikan sebagai aktiviti tahunan pada masa hadapan.
Majlis tersebut turut menyaksikan keprihatinan penganjur dalam meringankan beban penduduk kurang berkemampuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Seramai 30 penduduk dari enam buah kampung sekitar Betong menerima sumbangan wang tunai, manakala setiap Ketua Kampung pula menerima agihan kurma secara simbolik.
Selesai majlis penyampaian, Rentap bersama rombongan meluangkan masa berbuka puasa dan beramah mesra dengan penerima sumbangan dalam suasana yang cukup muhibah.
Oleh Adi Safarman