
KANOWIT: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran Rumah Ricky di Jalan Penyulau/Lukut di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kehilangan lelaki tersebut pada 10.19 pagi, hari ini.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Richard Lee anak Apang, 22, berbangsa Iban dan bekerja sebagai tukang kimpal.
“Berdasarkan laporan, mangsa kali terakhir dilihat keluar dari rumah kira-kira 4.00 petang, semalam selepas selesai makan untuk menghisap rokok.
“Pergerakan mangsa menuju ke kawasan hutan di belakang rumah disaksikan oleh seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Junical berkata, mangsa sebelum itu datang bercuti bersama pengadu dan tiba di rumah ibu mentua pengadu di lokasi berkenaan pada 5 Mac selepas pulang dari Kuala Baram, Miri.
Katanya, lokasi terakhir mangsa dilihat adalah di bawah rumah pengadu sebelum dipercayai menuju ke kawasan hutan yang terletak kira-kira 150 meter dari jalan utama.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit bagi mengesan mangsa.
“Operasi pencarian dijalankan dalam radius kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat, namun setakat ini mangsa masih belum ditemui.
“Op SAR hari pertama ditangguhkan pada 4.00 petang berikutan keadaan cuaca hujan,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi tersebut akan disambung semula pada esok bermula 8.00 pagi bagi meneruskan usaha mengesan mangsa.
Oleh Tarani Lanting