
SARIKEI: Seramai 45 orang remaja menyertai Program Ihya Ramadan anjuran Kelab Sukan Rekreasi Goyang Sarikei (SGC) dengan kerjasama Baitulmal Sarikei bagi menyemarakkan penghayatan Ramadan dan memperkukuh nilai keagamaan dalam kalangan generasi muda.
Presiden Kelab Sukan Rekreasi Goyang Sarikei (SGC), Haslie Umar berkata, program yang berlangsung dari 5.30 petang hingga 10.00 malam tadi diadakan sebagai usaha mendidik remaja agar lebih mendekati ajaran Islam selain mengeratkan hubungan persaudaraan sesama ahli kelab.
“Program ini bertujuan menyemai rasa cinta terhadap agama serta memupuk sikap tanggungjawab dalam kalangan remaja melalui pengisian aktiviti yang bermanfaat.

“Pendekatan seperti ini penting dalam membentuk sahsiah remaja agar mereka lebih memahami nilai-nilai murni yang terkandung dalam Ramadan.
“Program dimulakan dengan sesi tazkirah Nuzul al-Quran yang disampaikan oleh cikgu Atekah Sahari sebelum diikuti dengan penyampaian sumbangan kepada semua ahli remaja yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, para peserta turut menerima bubur pedas, hidangan pemanis mulut serta kurma sebagai sebahagian daripada pengisian program berbuka puasa bersama di salah sebuah restoran makanan segera.

“Selesai sesi tersebut, para peserta bersama-sama membaca doa dan berbuka puasa sebelum bergerak secara berkumpulan ke Masjid Ar-Rahmah Kampung Seberang Sarikei bagi meneruskan aktiviti keagamaan.
“Di masjid tersebut, para peserta mengikuti solat Maghrib berjemaah diikuti ceramah ringkas selepas Maghrib sebelum menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah.
“Program turut diteruskan dengan aktiviti tadarus al-Quran sebagai salah satu pengisian utama bagi meningkatkan penghayatan terhadap al-Quran dalam kalangan peserta,” katanya.
Haslie berkata, penganjuran program seperti ini diharap dapat memberikan pengalaman bermakna kepada para remaja selain menggalakkan mereka mengimarahkan masjid serta mengisi Ramadan dengan aktiviti yang berfaedah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program tersebut.
“Syukur alhamdulillah, program berjalan lancar dan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terutamanya Baitulmal Sarikei,” katanya.
Oleh Earl Anek