
KABONG: Seramai 226 golongan asnaf di sekitar kawasan Kabong menerima sumbangan kebajikan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka menjelang sambutan Syawal.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) serta Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung di Masjid As-Sabirin, semalam.
Program kebajikan itu melibatkan 126 penerima dalam kalangan asnaf dewasa selain turut memberi perhatian kepada kebajikan pendidikan apabila seramai 80 murid asnaf dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dan 20 murid asnaf dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Kabong turut menerima sumbangan.
Menurut Chee Kadir, program tersebut merupakan manifestasi keprihatinan masyarakat setempat dalam membantu golongan memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan penerima, malah menjadi platform untuk memupuk nilai kasih sayang dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Katanya lagi, program seperti ini juga memberi ruang kepada pemimpin dan komuniti setempat untuk terus mengeratkan hubungan silaturahim serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Program kebajikan tersebut merupakan anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) dengan kerjasama Persatuan Pesara Kabong (PEKA) serta Alumni SK Abang Leman Kabong.
Selain penyampaian sumbangan, majlis turut diserikan dengan acara berbuka puasa bersama barisan pemimpin, ketua jabatan serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di kawasan Kabong.
Turut hadir ialah Pengerusi LAKIK, Kaunselor Ulin Tabur; wakil Pegawai Daerah Kabong, Hamimi Kasim; Penghulu Rahman@Dom Kapok serta wakil sektor korporat, Kamaludin Alkap dari HK Enterprise.
Program yang bertemakan ‘Bersama Kita Ringankan Beban, Kongsi Rezeki, Raih Keberkatan Ramadan’ itu diharap dapat memberi suntikan semangat dan sokongan moral kepada para penerima dalam menjalani kehidupan seharian.
Oleh Adi Safarman