Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kasih sayang asas kekuatan masyarakat – Fadillah
  • TEMPATAN

Kasih sayang asas kekuatan masyarakat – Fadillah

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Amar Fadillah Yusof berucap pada Majlis Sumbangan Aidilfitri untuk golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, Kuching, hari ini.

PETRA JAYA: Nilai kasih sayang yang menjadi asas dalam ajaran Islam perlu diterjemahkan melalui tindakan membantu golongan memerlukan serta memperkukuh hubungan sesama masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, dalam Islam, iman seseorang tidak sempurna sekiranya tidak menyayangi saudaranya sebagaimana menyayangi diri sendiri.

Menurutnya, semangat tersebut dizahirkan melalui usaha membantu golongan memerlukan termasuk menerusi sumbangan kebajikan kepada masyarakat setempat.

“Dalam agama kita, asasnya ialah kasih sayang. Tidak sempurna iman kita melainkan kita kasih akan saudara kita sebagaimana kita kasih akan diri kita sendiri.

“Sebab itulah antara usaha yang kita lakukan hari ini ialah memberi bantuan melalui Lembaga Amanah kepada masyarakat sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kita,” katanya.

DATUK Amar Fadillah Yusof menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima pada Majlis Sumbangan Aidilfitri untuk golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Aidilfitri untuk golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa di sini, hari ini.

Fadillah berkata, Ramadan seharusnya dimanfaatkan untuk memperbaiki diri dan mendekatkan hati kepada Allah SWT kerana ketakwaan seseorang bermula daripada keikhlasan hati.

“Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menjaga mata, telinga dan hati supaya kita lebih dekat kepada Allah SWT.

“Apabila kita mempunyai rasa kasih sayang sesama manusia, kita dapat membina keluarga, masyarakat dan negeri yang lebih sejahtera,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pemimpin masyarakat termasuk ketua kaum, penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memainkan peranan lebih aktif mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, kerjasama antara pemimpin masyarakat dan penduduk setempat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kalau kita hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan sahaja, ia tidak akan mampu menampung semua keperluan.

“Sebab itu kita perlu bekerjasama mengenal pasti siapa yang memerlukan bantuan, siapa yang mempunyai masalah kewangan atau kesihatan supaya kita dapat membantu mereka dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui program seperti Sejati MADANI, komuniti setempat termasuk JKKK boleh merancang aktiviti sosioekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta membantu kebajikan masyarakat di kawasan masing-masing.

Pada majlis tersebut, seramai 345 penerima daripada beberapa kawasan sekitar Matang menerima sumbangan Aidilfitri yang disalurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang.

Penerima terdiri daripada wakil Kampung Pinang Jawa seramai 72 penerima, Kampung Gita Laut dan Sri Melati (58), Kampung Gita Lama dan Sungai Maong (60), Kampung Gita Baru serta Taman Marple Kuching (65), Kampung Gita Tengah (37), Taman Gita Jaya (13), Taman Fitrah, Taman Rose dan Taman Foong Joon (21), serta Laruh Scheme dan Batu 2½ Jalan Matang (19).

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: ‘Shopping Raya’ ceria 250 anak asnaf sambil raikan Hari Wanita
Next: Iftar Perdana 2.0 meriah, 5,000 pengunjung berbuka puasa di Tebingan Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.