

BINTANGOR: Program Mobile Service 2U anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor menjadi platform penting dalam mendekati masyarakat setempat dan menyalurkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan negeri.
Program yang diadakan di salah sebuah kedai kopi tersebut memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk mendapatkan penerangan dan bantuan berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing turut hadir bersama ahli-ahli SUPP Cawangan Bintangor serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Daerah Meradong bagi membantu orang ramai sepanjang program dijalankan.
Katanya, penganjuran program seperti ini penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri.
“Melalui program ini, orang ramai berpeluang mendapatkan penerangan serta bantuan berkaitan beberapa inisiatif kerajaan Sarawak termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB).
“Para sukarelawan yang terlibat turut membantu orang ramai membuat semakan kelayakan selain memberi penerangan mengenai syarat permohonan serta membantu proses pendaftaran bagi mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui media di program tersebut, semalam.
Tambahnya, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) merupakan antara inisiatif kerajaan negeri yang bertujuan membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam meringankan beban kos sara hidup.
“Selain itu, program ini turut memberi penerangan mengenai Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB), iaitu satu inisiatif yang disediakan bagi membantu golongan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih mudah dan mampu milik.
“Ramai penduduk setempat hadir bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengemukakan pelbagai pertanyaan berkaitan bantuan dan isu-isu setempat,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Konselar Chieng Ming Kiong; Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek