ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan semua pasar raya besar (hypermarket), pasar raya, pasar, kedai kopi, klinik swasta, restoran, kedai-kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak di Sarawak perlu menutup operasi dari jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi setiap hari.
JPBN berkata arahan ini akan berkuatkuasa dari 24 Mac 2020 hingga 31 Mac, 2020.
“Arahan ini adalah perlu untuk dikuatkuasakan bagi menghentikan pergerakan awam yang masih sesak di tempat-tempat tertentu.
“Dan arahan ini akan dilaksanakan di seluruh negeri,” jelasnya dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat harian JPBN yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah.
Kata kenyataan itu, arahan tersebut tidak akan menjejaskan semua pihak yang membantu dalam penguatkuasaan operasi semasa seperti polis, tentera, pekerja perubatan dan pegawai imigresen.
“Keperluan baharu ini adalah satu lagi strategi jawatankuasa untuk mengekang Covid-19 daripada merebak selanjutnya,” ujar beliau
Beliau berkata mengenai isu lain, semua pasar raya, pasar raya besar, pasar, farmasi dan klinik swasta kini harus mempraktikan jarak sosial (social distancing) di premis masing-masing.
“Pihak polis akan melakukan pemeriksaan untuk pelaksanaan itu secara rawak.
“Pemilik premis juga dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan suhu pada pelanggan mereka dan menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer),” jelasnya.