
JAKARTA: Seramai 14,796 jemaah umrah Indonesia telah pulang ke tanah air dengan selamat sejak 28 Februari lepas susulan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah.
Pegawai Teknikal Haji di Pejabat Urusan Haji Jeddah, M Ilham Effendy berkata, angka itu direkodkan setakat 5 Mac lepas berdasarkan pemantauan yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, Arab Saudi.
Beliau berkata jumlah itu termasuk 2,735 jemaah umrah Indonesia yang dipantau serta dibantu semasa proses penghantaran pulang melalui beberapa syarikat penerbangan pada 5 Mac.
“Semua penerbangan yang dipantau pada hari berkenaan dilaporkan beroperasi mengikut jadual waktu berlepas yang dijadualkan,” katanya seperti dipetik Agensi Berita ANTARA pada Jumaat.
M Ilham berkata pegawai masih berada di lapangan untuk memantau secara langsung jemaah umrah Indonesia di lapangan terbang bagi memastikan mereka menerima maklumat yang jelas serta bantuan sepanjang proses kepulangan.
Beliau berkata kerajaan terus menyelaras dengan pihak berkaitan bagi memastikan jemaah yang mengalami kelewatan menerima bantuan sewajarnya.
– Bernama