Airbus cipta Rekod Dunia Guinness bagi penerbangan tanpa henti paling jauh oleh pesawat komersial

Facebook
WhatsApp
Airbus cipta Rekod Dunia Guinness bagi penerbangan tanpa henti paling jauh oleh pesawat komersial

ISTANBUL, 10 November: Airbus mencipta Rekod Dunia Guinness bagi penerbangan tanpa henti paling jauh oleh pesawat komersial selepas melengkapkan perjalanan selama 24 jam 24 minit dari Melbourne, Australia ke Toulouse, Perancis pada Julai lepas, menurut pengeluar pesawat itu pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

Pesawat berkenaan berlepas dari Melbourne pada 27 Julai, 5.27 petang waktu tempatan (0727 GMT) dan mendarat di Toulouse pada 28 Julai, 9.51 pagi waktu tempatan (0751 GMT), meliputi jarak 12,503 batu nautika (23,155 kilometer) tanpa sebarang persinggahan.

Penerbangan itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program ujian pesawat A350-1000ULR yang dibangunkan khusus untuk syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways menerusi inisiatif ‘Project Sunrise’. 

Rekod berkenaan disahkan berdasarkan data pesawat yang dinilai secara bebas oleh Persekutuan Aeronautik Antarabangsa dan platform penjejakan penerbangan Flightradar24.

Pesawat itu terbang merentasi ruang udara Sydney sebelum menuju ke Los Angeles melalui Lautan Pasifik.

Ia kemudian merentasi Amerika Utara dan Lautan Atlantik sebelum melalui ruang udara London dan meneruskan penerbangan ke Toulouse.

Sepanjang perjalanan itu, kru pesawat berkenaan menyaksikan dua kali matahari terbenam dan dua kali matahari terbit.

Pesawat berkenaan dilengkapi tangki bahan api tambahan berkapasiti 20,000 liter dan menggunakan enjin Rolls-Royce Trent XWB.

Qantas telah menempah 12 pesawat model berkenaan. – Bernama