851 graduan Sarawak Skills diraikan pada konvokesyen ke-28

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain memberi ucapan aluan pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-28.

KUCHING, 12 November: Seramai 851 graduan Sarawak Skills menerima sijil dan diploma kemahiran masing-masing pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-28 di hotel terkemuka, hari ini.

Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain berkata, jumlah itu merangkumi 579 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 224 graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), enam graduan program SKM dan DKM melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) serta 42 graduan program Juruelektrik Penjaga Jentera Voltan Rendah (L1).

Menurutnya, Sarawak Skills mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 93 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, dengan 78 peratus daripada jumlah itu bekerja dalam bidang kemahiran yang dipelajari.

“Peningkatan kadar kebolehpasaran sebanyak 93 peratus selepas enam bulan bergraduasi menunjukkan bahawa Sarawak Skills berada di landasan yang tepat dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.

TAHNIAH… Wajah Graduan Sarawak Skills yang bakal menerima sijil pada majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-28.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis berkenaan yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Aziz berkata, Sarawak Skills turut menerima pengiktirafan Penarafan Lima Bintang terbanyak daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK) pada 2025, sekali gus mencerminkan pencapaian institusi itu dalam aspek latihan, pengurusan serta kerjasama industri.

Katanya, kejayaan itu turut didukung sokongan kerajaan negeri dan Persekutuan serta rakan industri yang bersama-sama membantu membangunkan tenaga kerja berkemahiran untuk Sarawak.

Sehingga kini, Sarawak Skills mempunyai 88 ahli daripada sektor kerajaan dan industri, sembilan cawangan di seluruh Sarawak serta menawarkan 12 bidang kemahiran kepada lepasan sekolah. Institusi itu juga mempunyai lebih 90,000 alumni.

Beliau berkata, Sarawak Skills akan terus memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memberi tumpuan kepada latihan berasaskan industri, pendedahan kepada teknologi terkini serta penglibatan langsung pihak industri dalam pembangunan program latihan.

Pada majlis itu, seramai 29 graduan menerima Anugerah Industri sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing. Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak turut diperkenalkan buat julung kalinya bagi menghargai kecemerlangan graduan.

Selain itu, dua Anugerah Modal Insan bagi kategori Ahli Sarawak Skills dan Rakan Strategik disampaikan kepada pihak industri yang aktif menyokong pembangunan kemahiran, menyumbang kepada komuniti dan pelajar serta menyediakan peluang latihan industri.

Tiga anugerah utama Sarawak Skills turut disampaikan, iaitu Anugerah Pengerusi Sarawak Skills, Anugerah TVET Sarawak Skills Kategori Diploma Kemahiran Malaysia dan Anugerah TVET Sarawak Skills Kategori Sijil Kemahiran Malaysia.

Abdul Aziz turut merakamkan penghargaan kepada 23 syarikat dan organisasi industri yang menyumbang dana bagi menjayakan Anugerah Industri.

Beliau berharap para graduan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman sepanjang pengajian untuk membina kerjaya serta terus menghargai sokongan ibu bapa dan tenaga pengajar yang membimbing mereka.

Oleh Shikin Mahmud