
KOTA SAMARAHAN: Enam saudara baharu Muslim dalam kalangan anggota tentera serta ahli keluarga warga tentera menerima sumbangan sempena majlis berbuka puasa anjuran Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) di Kem Muara Tuang, hari ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai tanda keprihatinan selain memperkukuh ukhuwah Islamiah, khususnya kepada saudara baharu yang menyambut Ramadan bersama komuniti warga Tentera Darat Malaysia (TDM).
Penerima sumbangan ialah PW II Abdul Qayyum Xavier Rantai – Markas 1 Divisyen, Sjn Muhammad Haris Bona Abdullah dari Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Rjr Mohammad Mikhael Abdullah dari Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja dan isteri kepada Mejar Md Asrol Tukimam dari Rejimen Semboyan Divisyen Pertama Infantri Tiara Christine Jemba.

Selain itu, turut menerima sumbangan ialah isteri kepada Koperal Mohd Faizal Abdullah dari Kem 1 Divisyen Tina Falisha Eema Abdullah serta isteri kepada Lans Koperal Mohamad Aniq Aiman Mohamad Nor dari Kompeni Alpha, Batalion 165 Risik Tentera Darat Nur Irdina Batrisya Leo Gordon.
Terdahulu, Tun Wan Juanidi dan Toh Puan Fauziah tiba pada 6.35 petang disambut oleh Panglima 1 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abd Aziz bersama isteri, Datin Roslina Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan acara berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di Surau Khalid Al-Walid sebelum Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah serta tetamu jemputan bergerak ke Dewan Banquet, Wisma Perwira Sri Kenyalang bagi menghadiri jamuan makan malam.
Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Saifullizan Ishak, Panglima-Panglima Formasi, Pegawai-Pegawai Kanan PMTTD serta tetamu jemputan yang lain.
-UKAS