KUCHING, 12 November: Kota Samarahan berpotensi mencapai status bandar raya pada masa hadapan susulan kepesatan pembangunan dan pertumbuhan penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemungkinan itu boleh berlaku dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang sekiranya pembangunan kawasan berkenaan terus berkembang.
Beliau berkata, perubahan ketara sepanjang sedekad lalu memperlihatkan Kota Samarahan berkembang daripada sebuah kawasan luar bandar kepada pusat pertumbuhan yang semakin pesat.
Menurutnya, jumlah penduduk Kota Samarahan yang dahulunya sekitar 70,000 orang kini menghampiri 200,000 orang, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap kemudahan dan perkhidmatan perbandaran.
Katanya, tidak mustahil Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada masa hadapan dinaik taraf kepada Dewan Bandaraya Kota Samarahan sekiranya pertumbuhan tersebut berterusan.
Malah, beliau menjangkakan jumlah penduduk kawasan berkenaan akan terus meningkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekali gus memerlukan sistem pentadbiran yang lebih besar dan tersusun.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis makan malam Ulang Tahun Ke-10 MPKS di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Abdul Karim yang hadir mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertumbuhan kawasan perumahan baharu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk apabila semakin ramai memilih Kota Samarahan sebagai tempat tinggal.
Menurutnya, Kota Samarahan juga terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan utama Sarawak dengan kehadiran institusi pengajian tinggi yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain itu, pembangunan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang bermula dari Rembus serta cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang dijangka terus merancakkan pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau turut menyentuh pembangunan Samarahan Park seluas lebih 400 hektar yang dirancang sebagai taman awam utama di Sarawak, dengan keluasan kira-kira dua kali ganda Hyde Park di London.
Katanya, perubahan Kota Samarahan turut dapat dilihat melalui pembinaan bangunan bertingkat, kawasan perumahan moden dan pelbagai kemudahan awam yang suatu ketika dahulu sukar dibayangkan oleh penduduk setempat.
Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MPKS atas komitmen mereka sepanjang sedekad lalu serta berharap pembangunan Kota Samarahan terus berkembang seiring pertambahan penduduk dan keperluan masyarakat.
Oleh Norman B





