PETRA JAYA, 12 November: Pendidikan menjadi pendekatan utama untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Melayu, khususnya dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta keperluan industri masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masyarakat Melayu perlu memperkukuh penguasaan ilmu dan kemahiran bagi memutuskan kitaran kemiskinan serta meningkatkan keupayaan untuk bersaing dalam pelbagai bidang ekonomi.
“Pendidikan adalah satu-satunya pendekatan kita untuk membasmi kemiskinan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini, malam tadi.

Menurutnya, masyarakat Melayu yang sering dikaitkan dengan sektor pertanian dan perikanan perlu memodenkan kedua-dua bidang itu dengan memanfaatkan keupayaan serta kepakaran generasi muda.
Beliau berkata, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk anak Sarawak daripada semua kaum membuka peluang kepada mereka melanjutkan pengajian tinggi dan merealisasikan impian masing-masing.
Katanya, antara kekuatan Sarawak yang menarik minat pelabur ialah sumber tenaga boleh baharu, bekalan air yang mencukupi serta dasar pendidikan yang membolehkan anak negeri menguasai bahasa Inggeris selain bahasa ibunda.
Sehubungan itu, beliau menggesa anak Melayu Sarawak terus menguasai ilmu dan kepakaran terkini, termasuk dalam bidang ekonomi digital dan ekonomi angkasa lepas, bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam perkembangan ekonomi baharu dunia.
Dalam pada itu, beliau berharap Wisma Melayu Sarawak bukan sekadar menjadi bangunan yang mencerminkan identiti masyarakat Melayu, malah berperanan sebagai pusat kegiatan ilmu, kebudayaan, pembangunan masyarakat dan ekonomi komuniti.
Menurut Abang Johari, kekayaan warisan masyarakat Melayu yang merangkumi bahasa, adat resam, kesusasteraan, seni persembahan, busana tradisional dan makanan warisan perlu dipelihara serta diperkenalkan kepada generasi muda.
Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memelihara warisan menerusi pendigitalan manuskrip lama, rakaman sejarah lisan dan pembangunan arkib digital.
Abang Johari berharap Wisma Melayu Sarawak menjadi pusat pertemuan generasi muda untuk membincangkan masa depan masyarakat, mempertahankan budaya dan meningkatkan martabat masyarakat Melayu.
Beliau turut menegaskan kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya merupakan kekuatan Sarawak dalam membina wilayah yang maju serta mengekalkan keharmonian masyarakat, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
Oleh Shikin Mahmud





