
ALOR SETAR: Perkhidmatan penyediaan juadah berbuka puasa dalam mangkuk tingkat kini menjadi pilihan anak-anak yang tinggal berjauhan, sebagai cara memastikan ibu bapa mereka menikmati hidangan lengkap tanpa perlu berpenat lelah memasak sepanjang Ramadan.
Peniaga juadah mangkuk tingkat, Atikah Abdullah Hasnan, 42, dari Simpang Empat, di sini berkata kebanyakan pelanggannya terdiri daripada individu yang bekerja atau menetap di luar Kedah dan memilih perkhidmatan itu bagi memastikan ibu bapa mereka menerima juadah berbuka setiap hari.

“Sebelum ini, saya buat katering secara kecil-kecilan sahaja, Ramadan tahun ini mula cuba pasaran di Alor Setar dengan membuat juadah mangkuk tingkat. Pada awalnya, memang risau sebab hari pertama Ramadan, hanya dua orang sahaja buat tempahan.
“Dalam seminggu, saya ambil tempahan empat hari iaitu Isnin hingga Khamis dan syukur, tempahan sekarang semakin banyak sekitar 20 hingga 25 tempahan sehari. Tetapi, buat masa ini saya hanya ambil tempahan sekitar Alor Setar dan paling jauh di Tunjang, Jitra,” katanya kepada Bernama.

Atikah berkata menu yang disediakan berubah setiap hari sepanjang Ramadan, bagi memastikan pelanggan tidak jemu dan sentiasa menikmati variasi hidangan yang disediakan.
MENU 30 HARI
“Senarai menu sepanjang 30 hari itu memang sudah ada, makanan disediakan pula mesti ada satu protein, satu sayur dan nasi. Ramai yang tempah ini anak-anak yang duduk jauh antaranya Selangor, pesan untuk ibu bapa mereka di sini.
“Contoh, hari ini saya masak daging tetapi orang yang tempah minta tukar kepada ayam, saya boleh buat ikut permintaan mereka. Semua bahan digunakan dijamin segar kerana setiap hari saya akan pergi membeli bahan mentah di pasar,” katanya.

Menurut Atikah, persiapan juadah dimulakan pada 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang dengan dibantu suami, Mohd Aminuddin Abdul Wahab, 45, dan selepas siap makanan akan dimasukkan ke dalam mangkut tingkat sebelum membuat penghantaran bermula 4.00 petang.
“Saya guna kereta manakala suami menaiki motosikal untuk buat penghantaran. Kos bayaran pula, kalau mingguan untuk sekitar Alor Setar ialah RM70 termasuk cas penghantaran, manakala Jitra, RM80. Kalau sebulan sepanjang Ramadan ini Alor Setar RM280 manakala Jitra, RM320.
“Setakat ini maklum balas diterima daripada pelanggan sangat baik dan mungkin Ramadan tahun depan, kami akan tambah jumlah dan hari tempahan. Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan boleh pergi ke laman sosial Facebook, Aaradinda,” katanya. – Bernama