
BEKENU: Program ‘Memacu Kehidupan’ anjuran Petronas terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam memastikan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat, khususnya golongan memerlukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Rosey Yunus berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan setiap musim perayaan utama sebagai usaha menyebarkan keriangan dan memastikan setiap keluarga dapat bersama-sama merasai kemeriahan sambutan perayaan.
Menurut beliau, sebelum ini program sama telah dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina yang lalu melibatkan masyarakat di Niah dan Bekenu dengan sumbangan lebih 200 bakul makanan kepada penerima yang layak.

“Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Petronas akan menyumbang sebanyak 250 bakul makanan keperluan asas serta biskut raya kepada keluarga dan individu yang memerlukan di sekitar Bekenu.
“Aktiviti seperti ini merupakan satu inisiatif untuk berkongsi rezeki dan secara tidak langsung memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Petronas Memacu Kehidupan Aidilfitri 2026 di sini, petang tadi.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menzahirkan harapan agar bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban penerima serta menceriakan lagi persiapan menyambut Aidilfitri.

Inisiatif tersebut selaras dengan matlamat organisasi untuk terus menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Ahli Jawatankuasa penganjur, Pejabat Pegawai Daerah Subis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pasukan Petronas yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan bersama komuniti setempat.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, pihak korporat dan komuniti setempat dalam usaha bersama memastikan kesejahteraan masyarakat terus diperkasa.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Petronas Carigali Sdn Bhd – Aset Sarawak, Abang Ahmad Zaidi; Pegawai Tadbir mewakili Pemangku Residen Bahagian Miri, Arshard Shamshu; Pegawai Tadbir mewakili Pemangku Pegawai Daerah Subis, Ananie Sharon Ricky Simpie; Pegawai Kebajikan Masyarakat Miri merangkap wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, Vivian Engkiong; Pemanca Dr. Ali Mudin; Pengurus Besar Petronas Malaysia Petroleum Management, Calvin Ritek; Pengurus Kanan Petronas Wilayah Sarawak, Nor Azam Abang Zawawie serta ketua-ketua masyarakat Daerah Subis.
Oleh Adum Liu