Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Bengkel Kesihatan Mental RSDM HOPE satukan komuniti di Miri
  • KESIHATAN

Bengkel Kesihatan Mental RSDM HOPE satukan komuniti di Miri

Utusan Sarawak 12 hours ago
BENGKEL Kesihatan Mental RAKAN Sarawak Destiny Movers (RSDM): HOPE di Pustaka Miri baru-baru ini. Foto Facebook Faradale Media-M

MIRI: Faradale Media-M telah menganjurkan Bengkel Kesihatan Mental RAKAN Sarawak Destiny Movers (RSDM): HOPE (Harapan – Penyembuhan, Jangkauan, Pencegahan, Pemerkasaan) di Pustaka Miri baru-baru ini.

Bengkel itu menghimpunkan profesional kesihatan mental, pendukung komuniti serta orang awam dalam satu platform dialog terbuka.

Program sehari yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu diinspirasikan daripada tema filem Azimat, terbitan Faradale Media-M, dengan memberi tumpuan kepada tiga isu utama iaitu kesedihan, tekanan emosi serta kesedaran dan pencegahan bunuh diri.

Pengurus Besar dan Pengasas Bersama Yayasan Dee Hati, Mohamad Nazwan Mohamad Taufik berkata, masyarakat perlu memahami bahawa kesedihan adalah proses semula jadi, namun terdapat keadaan tertentu yang boleh berkembang menjadi kesedihan rumit jika tidak ditangani dengan betul.

“Mengenal pasti individu yang bergelut dalam diam serta menawarkan empati dan sokongan yang sesuai amat penting bagi membantu mereka melalui fasa kehilangan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Melangkaui Perpisahan: Meneroka Pengalaman Kesedihan’.

Beliau yang mendapat latihan di bawah Program Latihan Kesedihan David Kessler turut berkongsi pendekatan berstruktur dalam mengurus kehibaan serta kepentingan komunikasi yang sabar dan tidak menghakimi.

Sementara itu, Kaunselor dan Rakan Kongsi Pengurusan Teduh Jiwa Kaunseling Dan  Perundingan, Jesynthia Wong Rober berkata tekanan emosi kini semakin ketara susulan cabaran ekonomi, kehilangan pekerjaan dan perubahan hidup yang mendadak.

“Dalam tempoh ketidaktentuan, seseorang mungkin bergantung kepada simbol luaran sebagai bayangan harapan. Apabila sandaran itu hilang, ketidakstabilan emosi boleh meningkat jika tiada mekanisme daya tindak yang sihat,” jelasnya dalam sesi bertajuk ‘Apabila Hidup Terasa Hilang Kawalan: Memahami Tekanan Emosi dan Cara Daya Tindak yang Lebih Sihat.’

Beliau menekankan kepentingan kesedaran diri, pembinaan daya tahan serta mendapatkan bantuan profesional pada waktu yang tepat.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, Dr Ravivarma Rao Panirselvam yang juga Pakar Psikiatri di Hospital Miri berkata stigma terhadap isu bunuh diri masih menjadi penghalang utama kepada usaha pencegahan.

“Masyarakat perlu dididik untuk mengenali tanda amaran awal dan bertindak balas secara bertanggungjawab.

“Intervensi berasaskan komuniti mampu memainkan peranan besar dalam menyelamatkan nyawa,” katanya dalam sesi ‘Pencegahan Bunuh Diri: Memperluas Harapan.’

Turut berkongsi pengalaman ialah sukarelawan MHAS Cawangan Miri, Nooridaly Irwanna menerusi sesi ‘Jadilah Sahabat yang Tetap Ada’ yang menekankan kepentingan kehadiran konsisten, pendengaran tanpa prejudis dan sokongan rakan sebaya.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif RAKAN Sarawak Destiny Movers (RSDM) oleh Faradale Media-M yang bertujuan memanfaatkan penceritaan sebagai medium menyatukan komuniti serta menggalakkan dialog terbuka berkaitan kesihatan mental.

Penganjur memaklumkan bengkel RSDM HOPE kedua dijadualkan berlangsung di Bintulu pada April depan bagi memperluas penglibatan komuniti di seluruh Sarawak.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Hospital Saratok terus dinaik taraf demi keselesaan rakyat
Next: KKM tubuh 33 Unit Dialisis Komuniti, 28 telah beroperasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.