SARATOK: Proses membudayakan integriti memerlukan usaha berterusan dan memakan masa panjang sekali gus menyebar luas nilai integriti dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata sehingga kini usaha itu menampakkan tindak balas positif di peringkat umum.
Menurutnya, masyarakat menunjukkan kepekaan mengenai isu integriti dan rasuah malah rata-rata mahu melihat tindakan tegas dikenakan kepada pesalah rasuah dan tidak berintegriti.
“Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman (UNION) merancang pelbagai program pembudayaan integriti bukan sahaja dalam negeri malah luar negeri,” katanya pada Program Jelajah Integriti Siri 4 di Dewan Masyarakat Sri Krian semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu berkata, langkah-langkah pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah turut diberi keutamaan oleh unit tersebut.
Beliau berkata, fungsi UNION mengendali pengurusan aduan seperti menerima aduan dan cadangan daripada orang awam (individu) berkaitan perkhidmatan agensi dan jabatan.
“Semua aduan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan ‘International Ombudsman’ iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal,” jelasnya.
Justeru kata Talip, landasan ini perlu digunakan dengan sebaiknya dan sekiranya ada salah laku dan kesalahan boleh dibuat aduan sebelum tindakan diambil.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited membudayakan nilai integriti di pelbagai peringkat masyarakat dengan menyalurkan maklumat tepat serta berkongsi ilmu berkaitan.
Terdahulu Sarawak merupakan negeri pertama yang mengambil langkah menandatangani Ikrar Integriti iaitu pada 15 Januari 2015 lalu dan langkah itu telah dimulakan oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham, Pehin Sri Adenan Satem.
“Selepas itu, usaha ini diteruskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memimpin barisan Kabinet Negeri menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 25 Januari 2017 iaitu dua minggu selepas beliau memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz berkata penting ketua masyarakat dan kaum mengamalkan nilai integriti agar projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Katanya nilai integriti tuai-tuai rumah dan penduduk rumah panjang adalah membantu memantau kontraktor mengikut justifikasi ditetapkan semasa pelaksanaan projek.
Oleh Adi Safarman