
KUCHING: Dua kenderaan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lorong 11A, Jalan Pisang Barat, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.40 petang.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati kejadian bukan kebakaran kereta seperti yang dilaporkan pada awalnya, sebaliknya kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan iaitu kenderaan Honda dan Proton Saga,” kata Pegawai Bomba Kanan I Abdul Hakim Sopian, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kemalangan tersebut melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Pemandu Honda tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Proton Saga mengalami kecederaan ringan.
“Tiada mangsa tersepit dan tiada operasi penyelamatan dijalankan. Pasukan bomba hanya memantau keadaan di lokasi bagi memastikan situasi selamat dan terkawal,” jelasnya.
Operasi dilaporkan terkawal pada 3.55 petang dan tamat sepenuhnya pada 4.00 petang selepas keadaan disahkan selamat. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil sebelum pasukan bomba beredar pulang ke balai.