
KUALA LUMPUR: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah diaktifkan untuk pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak bagi Februari 2026 berikutan harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump yang rendah di kedua-dua negeri itu, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Menurut LGM dalam kenyataan hari ini, harga purata peringkat ladang bagi getah cuplump bulan ini adalah sebanyak RM2.85 sekilogram di Sabah dan RM2.75 sekilogram di Sarawak, di bawah ambang RM3.00 sekilogram yang diperlukan untuk mendapat insentif tersebut.
Bagaimanapun, katanya insentif tersebut tidak teraktif untuk Semenanjung Malaysia berikutan harga purata adalah lebih tinggi kepada RM3.15 sekilogram pada bulan yang sama.
Katanya kadar IPG untuk getah cuplump di Sabah adalah sebanyak 15 sen sekilogram untuk 50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK) dan 30 sen sekilogram untuk 100 peratus KGK manakala di Sarawak, sebanyak 25 sen sekilogram dan 50 sen sekilogram.
Kadar IPG untuk lateks adalah sebanyak 90 sen sekilogram bagi lateks dengan 100 peratus KGK dan akan diaktifkan serentak dengan insentif cuplump.
Pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG mulai 1 hingga 31 Mac 2026 berdasarkan pengeluaran getah pada Februari 2026.- Bernama