
SIMANGGANG: Bazar Ramadan bukan sekadar lokasi jual beli makanan untuk berbuka puasa, malah ia merupakan simbol tradisi, medan pertemuan masyarakat, serta platform penting dalam menggerakkan ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menegaskan bahawa ramai penjaja bergantung sepenuhnya kepada musim ini untuk menjana pendapatan tambahan bagi menyara keluarga, menampung kos persekolahan anak-anak, serta membuat persediaan menjelang Aidilfitri.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan peniaga kecil, Dayang Noorazah telah menyalurkan subsidi khas berjumlah RM42,500 secara keseluruhan bagi membantu semua penjaja Ramadan di kawasan tersebut untuk 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan khusus kepada penjaja di Bazar Ramadan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simanggang.
Inisiatif tersebut diterjemahkan melalui pemberian insentif sebanyak RM250 bagi setiap penama penjaja dengan harapan dapat mengurangkan kos operasi mereka.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Cawangan PBB Lingga, Kaunselor Suhaidi@Roslan Los, pada majlis penyerahan subsidi penjaja Bazar Ramadan Pergerakan Pemuda PBB Simanggang yang berlangsung di Pasar Tamu Baru, petang ini.
Komitmen berterusan ini membuktikan bahawa kebajikan peniaga di peringkat akar umbi sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha memperkasa ekonomi rakyat.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut mengingatkan para penjaja agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan makanan, serta memberikan layanan mesra kepada pelanggan.
Beliau menekankan bahawa kualiti dan integriti dalam perniagaan adalah kunci utama untuk meraih kepercayaan pengguna serta menjamin kejayaan jangka panjang.
Dayang Noorazah berharap agar penganjuran bazar tahun ini bukan sahaja meriah, malah tersusun dan menjadi contoh terbaik kepada kawasan lain.
Beliau menyeru agar semangat kebersamaan dan saling membantu terus dipupuk memandangkan Ramadan adalah bulan yang mengajar erti kesabaran serta keprihatinan terhadap sesama insan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pemuda PBB Cawangan Simanggang, Kaunselor Abdul Hisham Ahmad; Setiausaha Cawangan PBB Lingga, Awang Najit Awang Sohor; serta Ketua Wanita PBB Lingga, Sapiah Drahman.
Oleh Adi Safarman