LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Gumbang percaya Jabatan Penerangan telah mengambil langkah tepat bagi menganjurkan Program Sepakat@Komuniti Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19 dalam menyokong usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan mendadak pada masa kini.
Katanya, beliau percaya, perlaksanaan program Jabatan Penerangan hari ini telah mencapai objektif iaitu mendidik, memberi kesedaran awam dan mencegah penularan wabak ini.
Tambahnya, tindakan tidak berjabat tangan juga perlu dibudayakan pada masa ini kerana ia merupakan norma baharu merujuk pada status quo sekarang.
Kata Paulus lagi, beliau turut menegaskan agar semua pihak mengamalkan 3W iaitu ‘Wash’ (kerap cuci tangan dengan air dan sabun), ‘Wear’ (sentiasa menggunakan pelitup muka apabila berada di tempat awam dan sesak) serta ‘Warn’ (sentiasa peka dengan amaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)).
Kata Paulus, masyarakat awam juga perlu mengelakkan 3C iaitu Crowded Places (kawasan sesak), Confined Spaces (kawasan yang sempit) dan Close Consersation (bertutur dengan jarak yang dekat).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Aziz Abdul Rahman dalam ucapannya berkata program seumpama ini adalah bertujuan sebagai medium penyampaian maklumat secara bersemuka bagi memantapkan pemahaman penduduk dengan adanya interaksi dua hala dalam sesi soal jawab.
Katanya, ia jua bertujuan memperkasakan usaha memutuskan rantaian Covid-19 agar orang awam sentiasa melakukan pencegahan serta pengawalan kendiri diperingkat awal dari terus dijangkiti virus ini meskipun struktur geografinya terletak agak jauh dari pusat bandar.
Aziz Abdul Rahman turut menegaskan agar orang awam tidak terlibat dalam penyebaran berita palsu malah melakukan semakan ke atas maklumat yang diterima sebelum berkongsi dengan orang lain.
Program Sepakat@Komuniti Pembudayaan Norma Baharu : Putuskan Rantaian Covid-19 telah diadakan bertempat di Rh Tugang, Ulu Lubai hari ini memberi fokus kepada amalan ‘Kita Jaga Kita’.
Terdahulu, Tuai Rumah Tugang berterima kasih kepada pihak Jabatan Penerangan kerana telah memberi peluang dan memilih rumah panjang beliau sebagai lokasi utama program pagi ini bagi berkongsi maklumat, pendedahan yang dilihat mampu mendidik serta membina kesedaran masyarakat di kampung ini khasnya.
Turut hadir Walikota Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Wakil Pegawai Daerah Limbang Hafiz Kipli, Pegawai Penerangan Daerah Limbang Linda Padan, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat serta pemimpin tempatan.