
BINTULU: Pembinaan dewan perhimpunan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu disifatkan sebagai langkah penting dalam meningkatkan kemudahan asas sekolah sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan selamat kepada pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang berkata, projek berkenaan diluluskan menerusi peruntukan khas kerajaan Sarawak di bawah Dana Bantuan Pembangunan Khas (SDAF) dengan anggaran kos sekitar RM2.1 juta.
Menurut beliau, keperluan pembinaan dewan itu dikenal pasti selepas pihaknya meninjau keadaan sekolah yang kini mempunyai lebih 3,000 pelajar namun masih kekurangan ruang perhimpunan yang sesuai.
“Ketika sesi petang, pelajar terpaksa berhimpun di kawasan tempat letak kenderaan yang kurang kondusif dan tidak sesuai dari segi keselamatan.
“Pembinaan dewan ini diharap dapat menyediakan ruang yang lebih teratur bagi aktiviti perhimpunan serta program sekolah,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tapak projek di SMK Bintulu, hari ini.

Beliau berkata, lawatan tersebut diadakan bagi mendapatkan ulasan teknikal dan keselamatan melibatkan agensi berkaitan sebelum reka bentuk akhir dimuktamadkan.
Tambahnya, projek kini berada pada peringkat penyelarasan teknikal dan proses tender dijangka dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua bulan sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Johnny turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kerajaan negeri atas sokongan berterusan dalam memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan Bintulu.
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar agar warga sekolah dapat menikmati kemudahan dewan yang lebih sempurna dalam masa terdekat.