SARATOK, 20 Oktober: Usaha membanteras budaya buli di sekolah memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk guru, pelajar, komuniti dan pihak berkuasa, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta bebas daripada buli.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembangunan Murid, Julia Dolen berkata, usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar melalui penyediaan dokumen panduan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada peluncuran Kerangka Antibuli Sekolah Untuk Pemerkasaan (SAFE 2026) peringkat Daerah Saratok di Kolej Tingkatan Enam Saratok (KTES), hari ini.
Menurutnya, SAFE 2026 merupakan kerangka tindakan yang memerlukan pelaksanaan berterusan, selain memperkasakan murid sebagai agen perubahan dalam membentuk budaya sekolah yang positif.
Program anjuran PPD Saratok itu bertujuan memperkukuh langkah pencegahan buli serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan inklusif.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna KTES itu turut menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta poster digital bertemakan antibuli.
Pertandingan itu memberi peluang kepada pelajar menyalurkan kreativiti sambil menyampaikan mesej kesedaran tentang kepentingan menolak budaya buli, selaras dengan aspirasi “Sekolah Sifar Buli”.
Menurut KTES, komitmen membentuk persekitaran sekolah yang positif turut diperkukuh menerusi Amalan Sekolah Penyayang, inisiatif Exco Kaunseling (PRS) bertemakan Kitakan Sahabat serta pendekatan Kaunseling Berfokus.
KTES bersama PPD Saratok akan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran, memupuk sikap saling menghormati dan memastikan setiap murid dapat belajar dalam suasana yang selamat serta bebas daripada buli.
Oleh Adi Safarman





