
SHIMLA, India: Satu video tular yang memaparkan seekor anjing liar membawa kaki manusia di celah rahangnya berhampiran sebuah hospital di sini mencetuskan siasatan pihak berkuasa, sekali gus mendedahkan kecuaian serius dalam pengurusan sisa perubatan.
Rakaman tersebut menunjukkan anjing berkenaan membawa kaki yang telah dipotong berhampiran kawasan Institut Perubatan Super Spesialiti Atal milik kerajaan negeri di Chamiyana. Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas ia tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Hasil siasatan mendapati kaki milik seorang pesakit lelaki berusia 61 tahun, Attar Singh, telah dipotong dalam satu pembedahan yang dijalankan pada Khamis lalu. Anggota badan yang dipotong itu kemudian disimpan di dalam sampul surat di bilik stor hospital sementara menunggu untuk dilupuskan oleh agensi pembersihan yang dilantik.
Bagaimanapun, kakitangan didapati terlupa mengunci pintu bilik stor berkenaan. Keadaan itu dipercayai memberi peluang kepada anjing liar tersebut memasuki bilik berkenaan sebelum keluar dengan membawa kaki yang telah dipotong itu.
Susulan kejadian tersebut, pihak pengurusan hospital telah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada penyelia dan pekerja pembersihan yang terlibat. Pihak berkuasa memaklumkan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan penuh. – AGENSI