Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • JKKK memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan di peringkat akar umbi
  • Tengah
  • WILAYAH

JKKK memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan di peringkat akar umbi

Utusan Sarawak 9 hours ago

DATUK Dr Malcolm Mussen Lamoh ketika melakukan kunjungan Tahun Baharu Cina di sekitar Pekan Lubok Antu, kelmarin. Foto: N.34 Batang Ai

LUBOK ANTU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan di peringkat akar umbi, termasuk menyelaras inisiatif ekonomi berskala kecil, aktiviti keusahawanan serta program sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, setiap komuniti, termasuk di kawasan luar bandar seperti Lubok Antu, terus menikmati limpahan pembangunan ekonomi yang sedang pesat dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Beliau menyatakan bahawa penglibatan JKKK bukan sahaja membantu dalam penyelarasan projek pembangunan, malah turut memastikan setiap program memberi impak positif kepada masyarakat setempat, terutamanya golongan peniaga kecil dan komuniti Tionghua di kawasan itu.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Dr Malcolm turut mengadakan kunjungan ke Rumah Kapitan Corina Tay di Pekan Bazaar Lubok Antu, yang juga pemilik Kedai Makan dan Minum 88 Cafe di Pasar Lubok Antu, sebagai tanda sokongan terhadap usaha komuniti setempat.

Dr Malcolm yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai turut menziarahi Rumah Kapitan Eng Huang Yang di Kampung Hilir, Lubok Antu, di mana lebih kurang 39 ketua isi rumah daripada komuniti Tionghua hadir menyambut kunjungan tersebut, sekaligus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Beliau mengucapkan ribuan tahniah kepada Kapitan Eng Huang Yang atas pengurniaan Darjah Kebesaran oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak baru-baru ini, sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan negeri dan komuniti tempatan.

Dalam usaha memperkasa agenda pembangunan ekonomi dan sosial, Dr Malcolm mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada JKKK Pekan Bazaar Lubok Antu melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP), manakala JKKK Kampung Hilir menerima RM25,000 melalui MRP dan tambahan RM130,000 untuk projek bina baharu Pusat Komuniti Kampung Hilir melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Peruntukan tersebut akan menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program pembangunan komuniti yang diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya di Pekan Lubok Antu.

Kunjungan sempena Tahun Baharu Cina ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, tetapi juga menjadi platform penting untuk mendengar secara langsung pandangan dan keperluan komuniti dalam memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan itu.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Neging serta tetamu lain, bagi memastikan komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat berjalan lancar.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Kehilangan Igoh Sengaling terus misteri, Operasi SAR hari kelima masih buntu
Next: Konflik buaya-manusia, keselamatan rakyat keutamaan SFC

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.