
KUCHING: Seorang lelaki cedera parah manakala seorang lagi mengalami patah tangan kiri dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua lori berhampiran UCSI Hotel, Jalan Muara Tebas, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 1.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua lori, dengan sebuah lori treler tidak melibatkan sebarang kecederaan mangsa, manakala sebuah lagi lori terbabas ke tepi jalan.
“Dua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan. Tiada operasi penyelamatan dijalankan kerana mangsa telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke hospital berdekatan menggunakan ambulans Bulan Sabit Merah Malaysia.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Haryati Abdullah dengan kekuatan lapan anggota dan sebuah jentera FRT.
Turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia bagi membantu kawalan keselamatan dan siasatan lanjut.
Oleh Norman B