
BINTANGOR: Seorang lelaki maut manakala dua lelaki cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua lori di Jalan Batu 12, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.04 tengah malam.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah lori muatan baja yang melanggar bahagian belakang sebuah lori tanker.
“Setibanya pihak kami di lokasi kemalangan, didapati dua mangsa yang merupakan kelindan lori masih terperangkap dalam kabin lori baja.
“Seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu lori mengalami kecederaan dan berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan khas.
Katanya, mangsa pertama yang terperangkap dalam lori dalam keadaan sedar berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi untuk tindakan susulan.
“Operasi seterusnya tertumpu kepada usaha mengeluarkan mangsa kedua yang tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kemalangan.
“Pasukan kami menggunakan alat penolak hidraulik teleskopik dan pemotong hidraulik bagi merenggang dan memotong bahagian kabin yang tersepit untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia merupakan kelindan lori, manakala dua lagi mangsa lelaki iaitu pemandu lori, 30, dan kelindan lori, 22, mengalami kecederaan.
“Operasi menyelamat melibatkan seramai 13 anggota bomba, tujuh orang anggota polis dan enam orang kakitangan KKM.
“Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 6.57 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek