
ISTANBUL: Ribut musim sejuk yang kuat sedang melanda wilayah Atlantik Tengah dan timur laut Amerika Syarikat (AS), membawa salji lebat, keadaan ribut salji, angin kencang serta pembanjiran pantai, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) pada Ahad.
Anadolu Ajansi melaporkan salji dijangka turun pada kadar lima hingga tujuh sentimeter sejam pada waktu tertentu, dengan jumlah keseluruhan mencecah 30 hingga 60 sentimeter (cm) di beberapa kawasan, sekali gus mengakibatkan “keadaan perjalanan yang hampir mustahil”.
NWS mengeluarkan amaran ribut salji untuk New York dari 1.00 tengah hari Ahad hingga 6.00 petang Isnin, sambil memaklumkan salji paling lebat dijangka berlaku serentak dengan angin paling kencang pada Ahad malam hingga awal Isnin, dengan jarak penglihatan merosot di bawah 400 meter (m).
Datuk Bandar New York Zohran Mamdani berkata bandar raya itu dijangka menerima salji setebal 45 hingga 55 cm dengan tiupan angin mencecah 80 kilometer sejam (km/j) serta kemungkinan pembanjiran pantai sehingga 75 cm ketika air pasang.
Mamdani berkata darurat telah diisytiharkan di bandar raya itu dan larangan perjalanan akan berkuat kuasa dari 9.00 malam Ahad hingga 12.00 tengah hari Isnin. Sekolah di bandar raya itu juga akan ditutup pada Isnin, katanya pada sidang media.
Seluruh New Jersey berada di bawah amaran ribut salji buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, dengan kebarangkalian 90 peratus seluruh negeri itu menerima salji sekurang-kurangnya 30 cm atau lebih.
Gabenor Mikie Sherrill mengisytiharkan darurat bagi semua 21 kaunti dan menggesa penduduk supaya segera keluar dari jalan raya. “Ambil serius ribut ini,” katanya.
Pejabat NWS di Boston memberi amaran mengenai ribut yang berpotensi “bersejarah dan membawa kemusnahan” di tenggara koridor Boston-Providence, dengan tiupan angin antara 95 hingga 113 km/j, gangguan bekalan elektrik secara meluas serta kerosakan pokok, manakala keadaan paling buruk dijangka berlaku pada Isnin antara 4.00 pagi hingga tengah hari.
Tiupan angin antara 65 hingga 113 km/j diramalkan di pesisir New Jersey hingga ke tenggara New England, dengan pembanjiran pantai sederhana hingga besar dijangka berlaku dari Delaware hingga Cape Cod, termasuk jalan raya dinaiki air dan kerosakan harta benda berhampiran kawasan tepian air.- Bernama-Anadolu