
SARIKEI: Bazar Ramadan Majlis Daerah Sarikei (MDS) tahun ini dimeriahkan dengan penyertaan 186 gerai, sekali gus menjadi platform penting kepada peniaga tempatan menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, jumlah tersebut mencerminkan sambutan menggalakkan daripada peniaga serta sokongan berterusan masyarakat setempat.

Katanya, kehadiran pengunjung yang ramai turut memberi gambaran positif terhadap perkembangan aktiviti ekonomi di daerah ini sepanjang Ramadan.
“Kalau kita lihat dari segi sambutan adalah menggalakkan dari segi penyertaan dan kunjungan warga Sarikei.
“Tapi apa yang telah kita tekankan untuk peniaga-peniaga di sini ialah supaya mereka jaga kesihatan, jaga kebersihan kawasan ini supaya tidak menghadapi permasalahan di masa akan datang, terutama sekali dari segi kualiti makanan, harganya, kebersihan dan sebagainya supaya pengunjung berasa selesa mengunjungi bazar sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan bazar Ramadan tersebut, hari ini.
Dalam pada itu, Len Talif turut merakamkan penghargaan kepada MDS atas kerjasama dalam menjayakan bazar Ramadan kali ini.
“Sebab itu, kerjasama dari MDS memudahkan warga Sarikei untuk berniaga di sini, kita ucapkan terima kasih kerana menjayakan bazar Ramadan kali ini.
“Insya-Allah, kita akan teruskan bazar Ramadan ini untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan apron kepada peniaga-peniaga di bazar dan berkunjung dari gerai ke gerai menyantuni para peniaga dan para pengunjung.
Len Talif yang juga Pengerusi Saberkas Kuala Rajang turut mengedarkan sebanyak 580 cawan bubur lambuk dari Saberkas Kuala Rajang kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan dan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Bazar Ramadan bukan sekadar tempat jual beli, tetapi menjadi ruang pertemuan masyarakat pelbagai lapisan yang bersama-sama menghidupkan suasana Ramadan dengan semangat perpaduan dan kebersamaan.
Dengan penyertaan yang terus memberangsangkan, Bazar Ramadan MDS kekal sebagai platform penting dalam memperkukuh ekonomi komuniti di daerah ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MDS, Konselar Misiah Abu Seman; Setiausaha MDS, Lolita Jaime Nicholas; Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Johny Kelak dan Penghulu Bazar Ramadan MDS, Awangku Aharruddin Awang Fauzie.
Oleh Earl Anek