
SIMANGGANG: Kepelbagaian budaya dan tradisi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini disifatkan sebagai kekuatan sebenar yang perlu terus dipelihara demi memastikan keharmonian dan kemakmuran berpanjangan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, dalam kepelbagaian budaya dan tradisi, masyarakat menemukan kekuatan sebenar sebagai komuniti yang bersatu dan saling menghormati.
Menurut beliau, masyarakat majmuk bukan sekadar identiti Sri Aman, malah menjadi tunjang perpaduan yang menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan adat resam. Katanya, semangat saling memahami dan menghargai perbezaan perlu terus dipupuk agar keharmonian dapat dikekalkan.
Beliau menegaskan bahawa asas keharmonian yang kukuh menjadi kunci kepada masa depan yang lebih makmur untuk semua, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan kerjasama erat antara komuniti dan pemimpin setempat.

Tambahnya, perpaduan yang dibina atas nilai hormat-menghormati dan toleransi bukan sahaja memperkukuh hubungan sosial, malah menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan ekonomi di peringkat tempatan serta nasional.
Dalam pada itu, beliau menggesa seluruh rakyat agar terus mempertahankan semangat muhibah dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang unsur yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama memelihara perpaduan ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang demi memastikan Dearah Sri Aman dan negara kita terus aman, stabil dan sejahtera,” katanya semasa melakukan kunjungan Tahun Baharu Cina di sekitar Parlimen Sri Aman, semalam.
Oleh Adi Safarman