
BETONG: Misteri kehilangan Denickles Lesen sejak Rabu lalu akhirnya terjawab apabila jasad mangsa berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Skrang, pagi tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa ditemui pada jarak kira-kira 15 kilometer dari pusat operasi sekitar jam 10.30 pagi.
Beliau berkata, penemuan itu hasil gerakan intensif pasukan penyelamat yang memperluaskan radius pencarian sepanjang laluan sungai berkenaan sejak awal pagi.
“Mayat mangsa telah disahkan oleh ahli keluarganya sebelum dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan penemuan itu, operasi SAR yang digerakkan sejak hari kejadian ditamatkan sepenuhnya pada 11.30 pagi tadi.
Operasi berkenaan melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat yang sebelum ini bertungkus-lumus menyusuri Sungai Ulu Skrang dalam usaha mengesan mangsa.
Terdahulu, seorang lelaki berumur 20 tahun dilaporkan hilang selepas bot laju yang digunakan untuk ujian dipercayai karam di Rumah Siti Tisak, Ulu Sungai Skrang, Rabu lalu.
Mangsa, Denickles Lesen, dilaporkan terkapai-kapai sebelum hilang daripada pandangan saksi pada kira-kira 15.51 petang.
Insiden ini berlaku kira-kira 21 kilometer dari pusat Bandar Betong. JBPM Sarawak juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi langkah keselamatan ketika menggunakan bot di kawasan perairan.
Oleh Adi Safarman