BINTULU, 21 November: Seramai 763 pelajar di Bintulu menerima manfaat menerusi inisiatif bantuan pendidikan yang dilaksanakan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) sepanjang tahun ini.
Inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Selain bantuan pendidikan, LAKIB turut menyalurkan bantuan perubatan kepada 110 penerima sepanjang 2026 bagi menyokong golongan yang memerlukan rawatan dan perhatian kesihatan.
Pengerusi LAKIB, Iskandar Turkee berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Pendidikan bagi sesi Julai hingga Disember 2026, yang menyaksikan seramai 25 pelajar menerima sumbangan.

Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada kesinambungan program kebajikan LAKIB dalam memastikan golongan yang memerlukan, khususnya keluarga berpendapatan rendah, terus mendapat sokongan dalam aspek pendidikan.
Menurutnya, perhatian terhadap pembangunan pendidikan penting bagi membuka peluang masa depan yang lebih baik kepada generasi muda, selain membantu mengurangkan beban kewangan keluarga penerima.
LAKIB turut komited meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat Islam di Bintulu terus terbela.
Oleh Faizah Muzidi





