SARIKEI, 21 November: Individu yang terlibat dalam kegiatan lumba haram di jalan raya kini berdepan tindakan penguatkuasaan lebih tegas, termasuk denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun bagi kesalahan berulang.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat berkata, peruntukan baharu menerusi Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 membolehkan tindakan diambil terhadap kegiatan tersebut tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
Katanya, pengenalan seksyen tersebut merupakan antara perubahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang dikuatkuasakan pada 16 Oktober lalu.

“Antara perubahan utama ialah pengenalan kepada Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil tanpa menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.
Tambahnya, pindaan undang-undang tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh penguatkuasaan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan JPJ.
Jelas beliau, pesalah yang disabitkan bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi sabitan kedua dan seterusnya, hukuman yang diperuntukkan ialah denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan penerima lesen motosikal supaya tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kerajaan dengan menyertai kegiatan berbahaya di jalan raya.
“Berdasarkan perkara tersebut, saya ingin menasihatkan kepada semua penerima bantuan lesen memandu agar jangan sesekali terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah yang boleh menggugat ketenteraman awam dan meragut nyawa seperti lumba haram.
“Jangan mengambil mudah dan memandang remeh tentang perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Faizal berkata, Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan dan JPJ bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan lesen motosikal Kelas B2 pada kadar minimum RM250.
“Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) merupakan inisiatif kerajaan amnya, Kementerian Pengangkutan, khasnya, melalui JPJ dalam mendekati dan menyantuni rakyat berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan lesen kelas B2 pada kadar yang minima sebanyak RM250 sahaja,” katanya lagi.
Beliau berharap penerima lesen menggunakan kemudahan tersebut untuk tujuan yang bermanfaat, termasuk memudahkan pergerakan harian, melanjutkan pelajaran dan mencari sumber pendapatan bagi membantu keluarga.
“Manfaatkanlah lesen ini kearah yang lebih baik. Gunakan pemberian ini untuk memudahkan pergerakan, menimba lubuk ilmu dan mencari rezeki untuk membantu diri serta keluarga tersayang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua peserta supaya terus mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan sikap berhemah ketika menunggang motosikal.
Menurutnya, lesen memandu yang diperoleh perlu dianggap sebagai satu amanah dan tanggungjawab terhadap keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Yang paling penting, saya amat berharap agar semua peserta untuk terus mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan cara pemanduan berhemah. Ingatlah, kemudahan yang diberikan ini juga merupakan amanah yang harus dijaga bersama-sama,” tambahnya.
Oleh Earl Anek





