SIMANGGANG, 21 November: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman meningkatkan kesiapsiagaan dengan melaksanakan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi berisiko banjir susulan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan paras air meningkat.
Pemantauan yang dijalankan petang semalam itu melibatkan Rumah Anggit, Empelanjau Baru dan Kampung Melayu Bakong bagi meninjau keadaan semasa serta memantau trend kenaikan paras air di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati keadaan di Rumah Anggit dan Empelanjau Baru masih terkawal, manakala paras air di Kampung Melayu Bakong dilaporkan mencecah kira-kira 0.6 meter.
Menurut APM Daerah Sri Aman, peningkatan paras air di Kampung Melayu Bakong dipercayai berpunca daripada hujan berterusan serta aliran sistem perparitan di kawasan berkenaan.
Sepanjang rondaan, anggota APM turut menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap sebarang perubahan paras air sungai serta parit, khususnya ketika hujan berterusan.
Penduduk juga diingatkan agar mengambil langkah keselamatan sewajarnya dan segera mendapatkan bantuan sekiranya berlaku peningkatan air secara mendadak.
Bagaimanapun, secara keseluruhannya keadaan di lokasi pemantauan masih terkawal dan tiada kejadian bencana atau kecemasan dilaporkan setakat ini.
APM Daerah Sri Aman kekal dalam keadaan siap siaga dan bersedia menggerakkan anggota bagi menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya jika keadaan cuaca terus tidak menentu.
Orang ramai yang berdepan kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman menerusi talian 083-320973.
Oleh Adi Safarman




