
TANJUNG MANIS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dikhuatiri lemas ketika memukat udang di Pantai Belawai, di sini, ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Sabarudin Awang Kamarudin, 48, ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan tenggelam di kawasan tepi pantai Kampung Tepi Laut, Belawai.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.03 petang, kelmarin.
“Berdasarkan maklumat saksi awam, ketika kejadian mangsa sedang memukat udang di kawasan tepi pantai sebelum tiba-tiba dilihat tenggelam dan terkapai-kapai meminta pertolongan.
“Tidak lama kemudian, mangsa hilang dari permukaan air. Difahamkan mangsa tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian,” jelas Komander Operasi, PBK I Adam Gauk dalam sebuah kenyataan.
Operasi pencarian dijalankan dengan kaedah pencarian permukaan air dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
Mangsa akhirnya ditemui pada 9.48 pagi sebelum jasadnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.30 pagi.