
LIMBANG: Sejumlah RM700,000 diperuntukkan untuk pembangunan dewan serba guna Kampung Nauran serta pembinaan parit konkrit.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, memaklumkan kedua-dua projek tersebut akan mula dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata demikian pada Program Badudun (ziarah) Ramadan Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Kota bersama pemimpin di Surau Al-Muqarrabin, Kampung Nauran malam tadi.
Majlis dimulakan dengan solat Isyak dan Tarawih yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Bahagian Limbang, Mohamad Khairul Keranaini, diikuti tazkirah ringkas oleh Imam Bahagian Limbang, Abdul Rahman Iqbal Aldi.

Program diteruskan dengan penyampaian sumbangan makanan asas dan wang tunai kepada 11 golongan asnaf terpilih, sebelum diakhiri dengan jamuan moreh.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kampung Nauran, Affendi Mohidin; Timbalan Ketua PBB Cawangan N79 Bukit Kota, Osman Salleh; Imam Surau Al-Muqarrabin Kampung Nauran dan Pengerusi Surau, Shafie Jakop; serta Gani Matusin.
Oleh Adeng Edrus