
SIBURAN: Satu kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di Kampung Batu Gong, di sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 5.50 pagi yang memaklumkan kawasan serta rumah kediaman pemanggil telah dinaiki air dan memerlukan bantuan bagi pemindahan ke tempat selamat.

Susulan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan (BBP Siburan) telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai. Pasukan tiba di lokasi pada 6.02 pagi.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Edi Guang, dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera jenis Jentera Bomba Penyelamat Kompak.

Setibanya di lokasi, didapati kawasan rendah di sekitar kediaman terlibat telah ditenggelami air dengan paras setinggi kira-kira 0.30 meter.
Pasukan bomba menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terjejas serta membantu proses pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Mangsa yang terlibat terdiri daripada empat dewasa iaitu dua lelaki dan dua wanita, termasuk dua warga emas (seorang lelaki dan seorang wanita).
PGO turut menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi memaklumkan kejadian untuk tindakan lanjut.
Operasi masih dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.