KUCHING: Dianggarkan nilai terkumpul bantuan Covid-19 mencecah RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak untuk menjaga kebajikan rakyat Sarawak di seluruh Malaysia.
Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, bantuan-bantuan berkenaan disalurkan sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 melalui Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL) atau Rumah Sarawak, dengan kerjasama Sarawak Volunteers.
Fadillah yang juga Penaung Sarawak Volunteers berkata, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah segera untuk meringankan beban rakyat dalam menyelesaikan masalah mendesak termasuk bagi siswa siswi yang terkandas di Semenanjung, Sabah dan Labuan.
“Seramai 1,092 orang awam dan 1,957 pelajar Sarawak yang berada di luar Sarawak telah menerima bantuan segera kepada akses makanan dan penginapan daripada Kerajaan Sarawak sejak penularan pandemik Covid-19 sehingga ke hari ini.
“Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak juga telah menyelaras penerbangan yang dicatar khas untuk membawa pulang 955 orang awam dan 9,668 pelajar ke Sarawak dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad (MAB), Jawatankasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak juga telah memudahcara urusan penghantaran guru-guru untuk balik ke tempat bertugas masing-masing dengan kerjasama MAB dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
“Ini bagi memastikan agar proses pembukaan sekolah secara berperingkat dapat berjalan lancar untuk kebaikan anak-anak murid Sarawak,” katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, demikian ketika berucap dalam Program Abas Orang Kamek (AOK) yang dihadiri 180 anak Sarawak di Hotel Thistle, Johor Bahru malam kelmarin.
Fadillah berkata, di atas keprihatinan terhadap isu yang dibangkitkan siswa siswi dalam program Lan Berambeh Anak Sarawak pada 2018 di Kuala Lumpur, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah mengilhamkan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS).
“I-GPS yang mula dilaksanakan sewal tahun 2019 untuk membantu siswa siswi kembali ke Sarawak dengan subsidi penerbangan RM300 sehala yang boleh dipohon dua kali setahun.
“Sarawak Volunteers dipertanggungjawabkan untuk memproses permohonan dan menyelaras pembayaran terus ke akaun pemohon yang berjaya melalui aplikasi Yayasan Sarawak Student App yang boleh dimuat turun daripada Playstore (Android dan App Store (Apple) serta turut boleh dilayari melalui laman web Yayasan Sarawak.
“Sehingga 30 Jun 2020, seramai 27,893 pemohon telah berjaya menerima manfaat subsidi berjumlah RM8,367,900 daripada Kerajaan Sarawak melalui inisiatif ini,” katanya, sambal menambah siswa siswi kini boleh kembali ke Sarawak semasa cuti semester dan khususnya cuti perayaan untuk bertemu keluarga.
Sementara itu, sepanjang 2019 Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers juga telah menguruskan 183 bantuan mingguan bagi rakyat Sarawak yang memerlukan. Rumah Sarawak juga turut menguruskan 49 penghantaran jenazah rakyat Sarawak yang meninggal dunia pada 2019.
Sejak awal tahun ini (2020) pula, 67 kes bantuan mingguan telah diuruskan Rumah Sarawak bersama Sarawak Volunteers, selain Rumah Sarawak turut menguruskan penghantaran 33 jenazah.