
SANTIAGO, Chile: Saintis mengeluarkan amaran mengenai penularan selesema burung di seluruh Antartika. Penyelidik terkemuka dari Chile memberitahu AFP semalam bahawa satu varian yang dikesan didapati “mampu membunuh 100 peratus” burung yang dijangkiti.
Beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik telah memberi amaran mengenai penyebaran selesema burung di benua berais itu, yang menempatkan pasukan saintis secara sementara.

Bagaimanapun, satu varian penyakit yang amat berbahaya dikesan pada April 2024 oleh penyelidik Chile, Victor Neira, bersama pasukannya pada lima ekor skua, sejenis burung laut kutub.
Sejak itu, virus berkenaan merebak kepada spesies lain, dengan kes dikesan sepanjang 900 kilometer (560 batu) garis pantai yang dikaji saintis.
Dalam satu ekspedisi terbaharu ke Antartika, kes baharu ditemui dalam kalangan burung kormoran Antartika, camar kelp, penguin Adelie dan gentoo, serta anjing laut berbulu Antartika, kata Neira kepada AFP. – AFP