
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah keselamatan ketika mengendalikan silinder gas petroleum cecair (LPG), khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
Menurut kenyataan Petros, langkah pencegahan yang mudah dan dilakukan secara rutin mampu membantu mengelakkan kebocoran gas, kebakaran serta insiden tidak diingini di kediaman.
Petros menasihati semua pengguna LPG supaya sentiasa memeriksa peralatan seperti pengawal selia (regulator) dan hos bagi memastikan tiada rekahan, kehausan atau kerosakan. Pengguna juga digesa menggunakan hanya regulator dan hos yang diluluskan SIRIM bagi menjamin keselamatan.
Selain itu, silinder LPG hendaklah disimpan di kawasan yang mempunyai pengudaraan baik. Dapur juga perlu mempunyai aliran udara mencukupi semasa aktiviti memasak bagi mengelakkan pengumpulan gas sekiranya berlaku kebocoran.
Dari segi kedudukan peralatan, Petros menyarankan agar dapur diletakkan lebih tinggi daripada silinder jika keadaan mengizinkan, selain memastikan jarak selamat antara 1 hingga 1.5 meter antara silinder dan api memasak.
Sekiranya berlaku kebocoran, gas LPG lazimnya akan mendap dan berkumpul berhampiran lantai, terutama di kawasan rendah atau tertutup, sekali gus meningkatkan risiko penyalaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkan semua sumber api jika terhidu bau gas atau terdengar bunyi desiran. Elakkan menghidupkan atau mematikan peralatan elektrik, sebaliknya buka pintu dan tingkap untuk meningkatkan pengudaraan.
Jika keadaan selamat, silinder hendaklah dipindahkan ke kawasan terbuka yang mempunyai pengudaraan baik. Pengguna juga diingatkan supaya menjauhi kawasan lantai yang berkemungkinan menjadi tempat pengumpulan gas.
Bagi mengesan kebocoran, pengguna boleh menyapu air sabun pada bahagian sambungan. Kehadiran gelembung menandakan kebocoran. Jika ini berlaku, regulator perlu ditanggalkan dan silinder diletakkan di kawasan berventilasi, selain menggantikan komponen rosak dengan peralatan yang diluluskan.
Petros turut menekankan kepentingan prosedur penyalaan yang betul, iaitu menyalakan sumber api terlebih dahulu sebelum membuka aliran gas. Pengguna juga tidak seharusnya meninggalkan aktiviti memasak tanpa pengawasan dan perlu menutup penunu serta regulator sebaik selesai memasak.
Tambah Petros, pemeriksaan ringkas yang dilakukan secara konsisten mampu memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko keselamatan di rumah.