
KOTA SAMARAHAN: Enam individu telah ditahan dalam satu operasi Aduan dan Cegah yang dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Samarahan di sekitar sini, semalam.
Menurut kenyataan media AADK Daerah Kota Samarahan, tangkapan dibuat selepas saringan air kencing individu berkenaan didapati positif terhadap penggunaan dadah dan bahan terlarang.
Operasi ini dilaksanakan selari dengan pemerkasaan pindaan Akta 283 – Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Pindaan terbaru akta berkenaan meluaskan skop tindakan agensi, membolehkan tangkapan, rawatan, dan pemulihan diberikan bukan sahaja kepada penagih, tetapi juga penyalah guna dadah dan bahan.
AADK menekankan bahawa operasi seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan yang dikenal pasti mempunyai aktiviti tinggi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membuat aduan melalui AADK Hotline di talian 1-800-22-2235 atau WhatsApp di 019-626 2233.
Oleh Adi Safarman