
KOTA SAMARAHAN: Beberapa kawasan di Daerah Sebuyau dijadual mengalami gangguan bekalan air sementara selama enam jam bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang, hari ini.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam satu notis memaklumkan gangguan itu melibatkan kawasan Kampung Sungai Nyamuk, Kampung Bulan, Kampung Kelait, Kampung Emperan Buloh, Kampung Ketimbung, Kampung Belimbing Besi, Kampung Lunyng serta kawasan sekitarnya.
Menurut kenyataan tersebut, gangguan berjadual itu bertujuan memberi laluan kepada kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja ujian sistem (system test) dan proses pengklorinan (chlorination) paip bersaiz 160 milimeter di Kampung Bulan.
Sehubungan itu, para pengguna yang terlibat dinasihatkan supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan tersebut.
JBALB turut memaklumkan bahawa bekalan air akan disalurkan semula secara berperingkat selepas kerja-kerja berkenaan selesai dan keadaan sistem kembali stabil.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau ingin membuat aduan boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211, JBALB Samarahan Careline di 082-673809 atau melayari laman sesawang rasmi https://jbalb.sarawak.gov.my.