
MULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala mengadakan lawatan pemantauan projek ke beberapa projek pembangunan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta projek agensi pelaksana di kawasan Taman Negara Mulu, petang tadi.
Menurut beliau menerusi hantaran di Facebook, lawatan itu bertujuan memastikan semua projek yang diluluskan berjalan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Lawatan pemantauan ini bagi memastikan setiap projek yang telah diluluskan dan sedang dilaksanakan berjalan mengikut perancangan, menepati spesifikasi serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Lawatan tersebut turut disertai Pegawai Tadbir Rebetta Jangi, Jurutera JKR Bahagian Miri, Trevor Steven serta Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Umu Masitah Mahari.
Antara pengisian lawatan termasuk tinjauan ke tapak cadangan pembinaan jeti Kampung Kuala Melinau, lawatan ke Gereja BEM Central Mulu serta penyerahan cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM150,000 bagi tujuan naik taraf gereja berkenaan.
Selain itu, beliau turut memantau projek naik taraf jalan kampung ke Gereja BEM Mulu di bawah peruntukan RTP ADUN Mulu, projek sosioekonomi hidroponik di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) serta projek naik taraf jalan dan tempat letak kenderaan Dewan Masyarakat Mulu.
Gerawat menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman seperti Mulu, demi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Oleh Liong Chai Ling