
MIRI: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri keluarkan 28 notis saman, manakala (Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri mengeluarkan 55 notis saman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Notis saman yang dikeluarkan itu ialah dalam satu Ops Bersepadu IPD Miri dan JPJ Miri bagi memperkukuh pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya.
Seramai 37 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi tersebut, terdiri daripada 29 pegawai IPD Miri dan lapan pegawai JPJ Miri.

Menurut kenyataan Polis Daerah Miri, operasi yang dijalankan dari 3.00 petang hingga 5.00 petang itu melibatkan dua lokasi sekatar jalan raya iaitu di Jalan Kuala Baram By Pass dan Jalan Permyjaya By Pass.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 109 kenderaan telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati IPD Miri telah mengeluarkan 28 notis saman, manakala JPJ Miri mengeluarkan 55 notis saman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata kenyataan itu hari ini.
Katanya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan keadaan cuaca dilaporkan baik sepanjang penugasan.
JPJ Cawangan Miri merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas kerjasama strategik yang erat, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memastikan keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang sentiasa dipertingkatkan.
Oleh Adum Liu